DALAM era media sosial yang semakin berleluasa ketika ini, sewajarnya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian dalam dunia maya kerana dibimbangi mengundang penyakit ain.
Rasulullah SAW juga sendiri suda memberi peringatan mengenai penyakit ini menerusi hadis baginda.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Penyakit Ain itu haq (benar-benar wujud). Jika ada sesuatu yang mendahului takdir, nescaya ‘ain akan mendahuluinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.” [Riyawat Muslim(5831)]
Pendakwah bebas yang juga pakar motivasi, Ustazah Marhamah Rosli dalam satu hantaran di Facebook berkongsi lima peringatan agar tidak terkena ‘tempias’ penyakit ain.
1. Menunjuk bahagia secara berlebihan
Contohnya, percutian mewah, atau pencapaian kecil dikongsi tanpa fikir panjang. Kita lupa tidak semua yang melihat itu mampu menerima kebahagiaan kita dengan hati yang lapang.
Ada yang sedang diuji dengan pasangan bermasalah, ada yang sedang berjuang melawan kesusahan dan banyak lagi.
2. Kongsi kejayaan tanpa hikmah
Contohnya mempamerkan slip gaji, pencapaian anak, kejayaan bisnes dan sebagainya. Niat asal kita hanyalah mahu meraikan kejayaan atau memberi inspirasi.
Tetapi tanpa disertakan hikmah dan pengajaran, perkongsian itu boleh mengundang iri hati orang lain atau menjadi ujian kepada kita sendiri.
3. Pamerkan kecantikan atau fizikal berlebihan
Dalam dunia media sosial, selfie dengan solekan yang indah memukau pandangan, gambar tubuh langsing selepas bersenam, atau gaya hidup glamor sering menjadi trend.
Kita fikir kecantikan itu hak kita, tetapi ramai lupa bahawa pandangan mata yang kagum tanpa doa keberatan boleh membawa mudarar besar.
4. Mengabaikan zikir dan doa perlindungan
Zikir ini adalah perisai yang Rasulullah SAW ajarkan untuk hindarkan kita daripada penyakit ain dan bahaya lain.
Tapi kita selalu beralasan sibuk bekerja. Jangan tunggu musibah jadi baru mahu kembali kepada Allah.
5. Tidak menjaga privasi nikmat yang Allah beri
Nikmat itu pinjaman Allah. Jika kita tidak menjaganya dengan kesykuruan dan privasi, ia boleh menjadi risiko nikmat-nikmat ini hilang dalam sekelip mata.
– MStar