Advertisement

KK Bakal Jadi Tumpuan Peminat Dunia Automotif Dalam Cult Car Culture Festival 2024 Di Padang Kawad UMS – Sabah News

KOTA KINABALU: Bandar ini bakal menjadi tumpuan peminat dunia automotif apabila Cult Car Culture Festival 2024 membuka tirainya pada 22 Disember ini.

Berlangsung di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS), festival yang sinonim dengan kreativiti automotif ini dianjurkan bersempena UMS Alumni Open Day 2024.

Dianjurkan oleh Car Urban Lifestyle & Trends (C.U.L.T.), festival kali ketiga ini dijangka menyatukan peminat, komuniti, dan pemain autoshow dari seluruh Borneo dan luar negara.

Gabungan pameran kereta, pertandingan, seni, dan sukaneka automotif menjadikan acara ini platform unggul untuk meraikan keunikan dunia car culture yang terus berkembang pesat di rantau ini.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, yang dijangka memberikan sentuhan istimewa kepada acara berskala besar ini.

Cult Car Culture Festival 2024, yang dianjurkan oleh Car Urban Lifestyle & Trends (C.U.L.T.).

Acara ini merupakan penganjuran skala besar kali ketiga, menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya mencuri perhatian komuniti peminat kereta dan modifikasi dari seluruh Sabah.

Acara ini bakal menyajikan pelbagai kategori Autoshow dengan 54 kategori pertandingan, 12 Kategori Khas, serta  10 Kategori Sukaneka Cult.

Selain itu, festival ini turut mengangkat keunikan seni automotif dengan kehadiran Saudara Zameer Pentbrush.

Beliau akan membuat demonstrasi lukisan langsung ke atas sebuah Nissan Skyline R33 PANDEM Widebody.

Ini adalah kali pertama seni kontemporari seperti ini dipertontonkan di Sabah dan kali kedua di seluruh Borneo.

Bagi para peserta, hadiah lumayan menanti termasuk sebuah motosikal, pelbagai barangan elektronik, produk automotif, dan pelbagai pakej serta baucar hasil sumbangan daripada penaja-penaja yang terlibat.

Hadiah-hadiah ini bukan sahaja memberikan motivasi kepada peserta, tetapi juga mencerminkan penghargaan penganjur kepada komuniti yang terus menyokong acara ini dari tahun ke tahun.

Menurut pihak penganjur, festival kali ini bukan sahaja bertujuan untuk mengangkat kreativiti dalam modifikasi automotif, tetapi juga untuk menyatukan pelbagai budaya dan adat resam melalui gabungan aktiviti unik yang berunsur inklusif.

“Kami berharap Cult Car Culture Festival 2024 dapat menjadi acara yang membawa kelainan, bukan sahaja dari aspek pertandingan dan pameran, tetapi juga dari segi memperkenalkan Sabah sebagai hab automotif yang mempunyai identiti tersendiri,” kata jurucakap C.U.L.T.

Buat peminat automotif, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan acara berprestij ini. CULT 2024 bakal menjanjikan pengalaman yang luar biasa untuk semua pengunjung!