Advertisement

Lelaki Melecur 80 Peratus Ketika Cuba Selamatkan Diri Dalam Kebakaran Rumah Di Taman Nelly, Kolombong – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

INANAM: Seorang lelaki dilaporkan cedera parah selepas cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Nelly, Kolombong pagi tadi.

Mangsa, Woo Chee Ke, 54 tahun yang tinggal sendiri di rumah itu telah melecur 80 peratus akibat kebakaran yang dipercayai apinya berpunca dari dapur. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.49 pagi.

“Lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah flat jenis kekal berkeluasan 20X30 kaki persegi terbakar 20 peratus.

“Pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, 200 kaki, dua pancutan dan sumber air dari tangki jentera.

“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat mengalami cedera parah melecur 80 peratus Ketika cuba menyelamatkan diri dari kebakaran dan mangsa telah pun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.42 pagi.