Advertisement

YDP AGONG DIJADUAL LANTIK YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH PAGI INI – Sabah News

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar…

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan menyampaikan surat cara pelantikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru pada hari ini.

Berdasarkan jadual Bernama, istiadat itu dijangka akan berlangsung di Istana Negara pada pagi ini.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, ketika dihubungi, mengesahkan majlis pelantikan itu akan diadakan pada Selasa.

Yang di-Pertua Negeri yang baru akan menggantikan Juhar Mahiruddin, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2024..

Memetik laporan Malaysiakini, portal itu pada minggu lalu melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman muncul sebagai calon utama untuk jawatan itu.

Tan Sri Musa Aman…

Selain Musa, calon lain yang dilapor turut tersenarai ialah bekas ketua menteri, Joseph Pairin Kitingan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin.

Walaupun kerajaan negeri belum membuat sebarang pengumuman rasmi, sumber yang dipetik Malaysiakini menyatakan bahawa Musa akan menjadi Yang di-Pertua Negeri yang baru, dan beberapa pihak telah mula mengucapkan tahniah kepada bekas ketua menteri itu di internet.

Sementara itu, telah tular sejak semalam pemberitahuan rasmi daripada Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri Sabah yang dialamatkan kepada Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Malaysia di Kota Kinabalu berhubung jadual ketibaan Musa Aman.

Surat itu merujuk kepada Musa, yang kini bergelar “Tan Sri”, sebagai “Tun”, gelaran yang biasanya dipegang oleh Yang di-Pertua Negeri.

Surat yang tular sejak semalam berhubung pemberitahuan rasmi daripada Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri Sabah yang dialamatkan kepada Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Malaysia di Kota Kinabalu berkenaan jadual ketibaan Musa Aman ke Sabah…

Menurut notis itu, Musa dijangka tiba di Kota Kinabalu pagi Rabu ini.

Surat tersebut yang ditandatangani oleh Pengarah Istiadat dan Protokol, Shafaruddin Halide meminta persiapan dibuat di bilik VIP untuk acara ketibaan.