KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat negeri Sabah (KEADILAN Sabah) menyelar tindakan beberapa pihak yang mengaitkan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam isu pelantikan Tun Datuk Seri Musa Aman sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sabah baharu.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, pihaknya mengecam tindakan pihak yang menyebarkan berita palsu mendakwa pelantikan Tun Musa sebagai perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat Pengerusi MPN Sabah menjadi Ketua Menteri.
“Selain itu kami juga mengecam tindakan beberapa pemimpin politik yang menyerang Perdana Menteri atas isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 1(1) jelas menyatakan Yang di- Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicaranya selepas perundingan dengan Ketua Menteri.
“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Negeri Sabah serta proses yang telah dijalankan mengikut Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Di samping itu, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pusat berkata, PKR Sabah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Perlantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Tun Tan Musa dan seterusnya pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara di Istana Negara.
“Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.