KOTA KINABALU: Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran menyempurnakan Program Khatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di sini, hari ini
Program Khatan anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sembulan itu disertai oleh seramai 48 murid darjah empat hingga enam.
Ketika ditemui Arif berkata, penganjuran program itu adalah sangat baik dan turut mendapat sambutan yang luar biasa daripada ibu bapa murid yang menyertai.
Katanya, program yang memasuki tahun ke-10 sejak 2014 itu wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Pada hari ini saya menyempurnakan program berkhatan yang dianjurkan oleh pihak sekolah bersama PIBG dan seperti yang kita ketahui berkhatan ini adalah satu ibadat yang wajib kepada seorang lelaki muslim.
“Jadi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada sekolah kerana dapat menganjurkan satu program yang begitu baik dan ianya turut mendapat kerjasama PIBG,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut membantu dalam membuat simbolik ‘siraman air’ kepada peserta terlibat.
“Pihak bomba juga terlibat hari ini dalam melakukan simbolik siraman air dan ini merupakan satu simbolik yang dilihat secara psikologi untuk memberikan semangat kepada murid-murid supaya tidak merasa takut, gentar semasa berkhatan nanti,” katanya.
Terdahulu Arif dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran program itu sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa meringankan bebanan kewangan tanpa perlu mencari pusat berkhatan untuk anak mereka.
“Pihak sekolah dan PIBG bekerjasama dengan pihak hospital untuk memudahkan urusan ibu bapa hanya di sekolah sahaja.
“Saya difahamkan, hanya beberapa buah sekolah sahaja di Negeri Sabah yang menganjurkan program sebegini dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada ibu bapa,” katanya.