Advertisement

Rosmah Bebas Dari 12 Kes Pertuduhan Gubah Wang Haram Lebih RM7 Juta Dan 5 Pertuduhan Gagal Serah Penyata Pendapatan Kepada LHDN – Sabah News

Rosmah (tengah) dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN, lapor Sinar Harian.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua kes itu.

Ketika membaca alasan penghakiman hampir 30 minit, beliau berkata, permohonan Rosmah untuk menggugurkan pertuduhan, mempunyai merit.

Menurutnya, ini kerana pertuduhan itu tidak menyatakan elemen penting kesalahan yang didakwa telah dilakukan.

Beliau berkata, pertuduhan tidak mendedahkan unsur utama kesalahan untuk pengubahan wang haram dan urus niaga yang melibatkan pengubahan wang haram.

“Wang yang dirujuk dalam pertuduhan tidak mendedahkan transaksi seperti yang digambarkan, begitu juga aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, muncul entah dari mana.

“Tidak dinyatakan secara jelas mengenai transaksi itu atau cara mengaitkan tertuduh dengan kesalahan yang didakwa dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, urus niaga yang terlibat dengan pendapatan yang tidak didedahkan, perlu ditunjukkan.

Katanya, mengikut Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (CPC), pertuduhan perlu mengandungi butiran kesalahan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan supaya notis dapat diberikan kepada tertuduh untuk menjawab pertuduhan itu.

Menurutnya, tuduhan itu bukan sahaja dipelbagaikan malah terdapat pertindihan sedangkan ia menyalahi undang-undang.

Hakim ini berkata, tertuduh perlu didakwa atas pertuduhan berasingan dan perbicaraan berlainan, sebagai mana mengikut Seksyen 163 CPC.

Katanya, yang tinggal hanyalah kegagalan mengisytiharkan pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Sebelum ini, Rosmah memohon mahkamah membebaskannya daripada semua kes berkenaan, kerana kes itu salah di sisi undang-undang.

Ketika hujahan, peguam, Amer Hamzah yang mewakili Rosmah berkata, pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya adalah cacat.

Menurutnya, 12 pertuduhan bawah AMLA dan lima kes bawah Akta Cukai Pendapatan juga tidak berasas, pramatang dan tidak mendedahkan sebarang kesalahan undang-undang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menyangkal dakwaan itu dengan menyatakan, semua pertuduhan jenayah itu sah di sisi undang-undang.

Katanya, ia juga mengandungi maklumat cukup bagi memberitahu tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan, agar dia dapat menyediakan pembelaan sewajarnya.

Pada Khamis, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilepaskan dan dibebaskan atas 12 kes AMLA mencecah lebih RM7 juta dan lima kes berkaitan LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah menetapkan prosiding rayuan itu berlangsung pada 5 Mac tahun depan.