KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan seorang pereka grafik yang juga aktivis selepas mengeluarkan satu kenyataan dipercayai memperlekehkan pelantikan Yang di-Pertuan Negeri Sabah Ke-11, iaitu bekas Ketua Menteri Sabah di akaun media sosial Facebook.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan laporan dibuat pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.
“Pengadu melihat hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook iaitu lelaki berusia 47 tahun disyaki berkaitan 3R dan ucapan kebencian terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman berhubung pelantikannya.
“Kandungan dipercayai dimuat naik untuk mengkritik, menghasut, cuba membangkitkan kebencian dan provokasi terhadap bekas ketua menteri itu serta Yang di-Pertuan Agong.
“Hantarannya juga secara tidak langsung mengundang orang ramai membuat komen yang menyentuh sensitiviti Institusi Diraja selain jelik terhadap baginda dan Musa selain berpotensi menggugat keselamatan awam serta keharmonian negara,” katanya, memetik laporan Harian Metro, di sini, hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit diambil keterangan hari ini dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.