TAWAU: Seorang lelaki dipercayai dikurung dan dianiaya keluarga teman wanita dalam satu kejadian di Kampung Merotai Besar.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian bermula pada selasa apabila mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya memaklumkan bahawa teman wanita mangsa sedang mengandung.
Katanya, mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas dari suspek iaitu teman wanitanya pada 7 pagi keesokkan harinya yang meminta mangsa untuk datang ke rumahnya.
Sebaik tiba di rumah suspek, mangsa diarah masuk ke dalam bilik dan mendakwa telah dikurung oleh bapa teman wanitanya.
Dalam pada itu, situasi bertambah tegang apabila mangsa dipukul menggunakan kepala tali pinggang dan ditumbuk di bahagian kepala oleh abang teman wanita mangsa, selain mangsa diancam sebilah pedang #samurai.
Katanya, wanita terbabit didakwa turut mencederakan mangsa menggunakan alat seterika panas yang menyebabkan lengan kiri mangsa melecur.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam.
Sementara itu, bertindak atas maklumat, sepasukan Polis dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bombalai berjaya memberkas dua suspek lelaki, berumur 30 dan 64 tahun serta seorang suspek wanita, 25 tahun.
ACP Jasmin berkata, turut dirampas sebilah pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian, sterika dan sebuah telefon bimbit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah.