KOTA KINABALU: Pernah ‘viral’ kerana berkhemah di atas pokok selama 24 jam demi talian internet untuk mengambil peperiksaan, Veveonah Mosibin dilaporkan telah memulakan ijazah perubatan di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) di Shah Alam pada 9 Disember lalu.
Wanita berusia 23 tahun dari Kampung Sapatalan, Pitas itu tidak mampu pulang ke Sabah untuk menerima skrol ijazah Sains Marin (3.46 CGPA) semasa majlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini kerana harga tiket yang terlalu mahal.
“Saya ditaja untuk terbang pulang ke Sabah untuk Krismas, tetapi membeli satu lagi tiket penerbangan untuk mengambil skrol tamat pengajian adalah sangat mahal terutamanya pada bulan Disember.
“Bagaimanapun, saya akan menerima skrol itu menjelang akhir bulan ini,” katanya kepada New Straits Times.
Veveonah menjelaskan, meskipun telah menamatkan ijazah dalam jurusan Sains Marin, minat sebenar beliau terletak pada perubatan sejak 2021.
“Ia adalah cerita yang panjang, tetapi keadaan mental yang tidak stabil dan kemurungan boleh membawa kepada pilihan yang tidak selaras dengan kebolehan dan minat sebenar seseorang.
“Keseronokan dan minat awal saya terhadap sains marin adalah sementara.
“Saya mula hilang minat semasa Covid-19, kerana kami terpaksa mempelajari segala-galanya dalam atas talian walhal sains marin memerlukan lebih banyak pembelajaran fizikal,” katanya.
Video “24 Hours On A Tree” yang dimuat naik Veveonah ke laman YouTube pada tahun 2020 meraih lebih 880,000 ‘views’ antaranya daripada Toh Puan Datuk Seri Norlidah RM Jasni yang juga telah menghulurkan sumbangan kepadanya.