SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan misi bantuan Medical Evacuate (MEDEVAC) ke atas seorang pesakit wanita warga emas yang memerlukan rawatan segera dari Kampung Tundun Bohangin, Kinabatangan ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Sandakan menerima aduan pada pukul 9.20 pagi dan memaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu seterusnya melaksanakan bantuan tersebut.
Pesakit, Saripah binti Abdul Karim, 73 tahun, mengalami kecederaan serius pada mata selain mempunyai penyakit kronik telah dibawa menaiki Bot Halilintar 4 dari Jeti Kampung Tundun Bohangin ke Jeti Zon Maritim Sandakan dengan anggaran jarak lebih kurang 45 batu nautika.
“Walaupun dalam keadaan cuaca buruk serta laut bergelora, Saripah yang diiringi dua anaknya selamat tiba di jeti Zon Maritim Sandakan sekitar pukul 11.35 pagi hari yang sama sebelum dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sementara itu, Suhairy turut mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di laut seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.
Orang awam juga diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999.