KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 58 tahun maut tercampak keluar kereta ketika Honda Accord dipandu suaminya terbabas ke dalam parit di Jalan Lintas, sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata kejadian berhampiran Starbucks itu berlaku pada pukul 9.20 malam.
“Siasatan awal mendapati pemandu Honda Accord yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur lingkungan 60-an bersama dengan tiga 3 orang ahli keluarganya didalam perjalanan pulang ke rumah daripada Inanam dan menuju ke arah Petagas.
“Semasa pemandu kenderaan Honda Accord tersebut memandu di lorong tengah dan hendak memotong kenderaan di hadapannya, ketika mula menukar ke lorong kanan terdapat kenderaan lain di hadapan lorong kanan tersebut menyebabkan pemandu kenderaan Honda Accord menekan brek dan masuk semula ke lorong asal.
“Walau bagaimanapun, dengan secara tiba-tiba, kenderaan dipandunya telah gagal dikawal dan mula hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 40-an.
“Selepas itu kenderaan Honda Accord tersebut telah terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Kasim berkata 3 orang penumpang yang berada di dalam kenderaan Honda Accord telah tercampak keluar menyebabkan isteri pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pemandu Honda Accord yang mana telah gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan kemalangan serta kematian penumpang didalam kenderaan yang dipandunya,” jelasnya.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.