KUALA PENYU: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sendiri lalu melanggar tiang elektrik dan terbalik dalam kejadian kemalangan di Kampung Kepayan Skim Jalan Menumbok – Kuala Penyu petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.52 petang.
“Seramai lima anggota pasukan Bomba dari BBP Kuala Penyu, anggota PDRM dan kakitangan KKM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 19 kilometer dan tiba pada jam 4.12 petang.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabas sendiri melanggar tiang elektrik dan terbalik.
“Terdapat seorang mangsa terlibat berjaya dikeluarkan pasukan Bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.26 petang.