BEAUFORT: Seorang lelaki gagal turun selepas mengambil dron miliknya yang tersangkut di pokok durian setinggi 25 kaki dalam kejadian di Kampung Batandok Lubak, di sini petang semalam.
Mangsa, Mohd Safwan Sanain, 36 tahun bagaimanapun, selamat dan berada dalam keadaan stabil ketika diselamatkan oleh pasukan Bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 5.54 petang.
“Lapor benar terdapat seorang lelaki di atas pokok durian setinggi 25 kaki gagal turun dari pokok semasa mengambil dron miliknya yang tersangkut di atas pokok.
“Tindakan Pasukan Bomba menurunkan mangsa menggunakan tangga dan tali.
“Seterusnya mangsa diberi rawatan awal oleh pihak KKM dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.49 petang.