Advertisement

PRN17: Perpaduan Dan Tolak Ansur Dalam Setiap Komponen GRS, Mampu Pertahan Kerajaan Sedia Ada – Ruslan – Sabah News

BEAUFORT: Perpaduan, permuafakatan, keikhlasan, kejujuran serta tolak ansur yang kekal dan ada dalam setiap parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu membantu gabungan itu untuk menguasai 2 per 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya mempertahankan kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan datang.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam berkata, melihat kepada situasi politik di Sabah ketika ini, jika semua elemen itu berjaya dijalin oleh semua parti komponen dalam GRS, ia mampu membantu GRS untuk lebih kukuh.

“Sudah pasti bukan saja kita melihat perpaduan di kalangan presiden-presiden parti dalam GRS itu, tetapi juga kita telah pun bersatu hati dan mendapatkan kerjasama yang erat, di mana kerajaan GRS pada hari ini telah melakukan yang terbaik bagi kita.

“Saya katakan begitu, kerana kerajaan negeri telah menghasilkan pendapatan yang begitu tinggi pada dan bajet yang telah diluluskan untuk tahun 2025 melebihi RM6.4 bilion. Ini merupakan satu kemampuan kerajaan GRS yang baru pun dalam masa empat tahun menjadi kerajaan dan mampu mengutip hasil negeri dan mampu membelanjakan bajet lebih daripada RM6 bilion itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Isnin selepas meninjau beberapa kawasan di DUN Lumadan yang dinaiki banjir sejak Ahad lalu.

Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, pilihan raya yang kerap kali diadakan ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh rakyat Sabah keseluruhan, namun, ianya sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa menjadi kewajiban negeri ini untuk mengadakan pilihan raya bagi setiap tempoh lima tahun.

“Jadi ini sudah tentu rakyat bukan inginkan kerap kali untuk mengadakan pilihan raya tetapi oleh kerana di hadapan ini kita habis tempoh, itu kita kena akur dan kerajaan, parti-parti dalam GRS kena akur. Dalam perlembagaan kita, setiap lima tahun kita kena bubar.

“Tetapi dalam masa dalam empat tahun ini, kita dapat melihat dan pembelaan kita kepada rakyat itu jelas dan dapat dirasai oleh rakyat walaupun tidak dalam 100 peratus tetapi dibandingkan kerajaan sebelum ini mempunyai perbelanjaan tidak pun sampai RM6 bilion.

“Jadi ini adalah satu gambaran yang jelas bahawa kerajaan kita pada hari ini mampu memimpin dan mampu untuk menjana pendapatan negeri,” jelasnya.

Tambah Ruslan, beliau yakin jika GRS bergerak solo tanpa gabungan dari parti-parti lain pun, kerajaan GRS tetap dapat dipertahankan.

“Saya yakin walaupun dalam gabungan GRS ini tanpa ada gabungan kerjasama daripada parti-parti lain, saya yakin kita mampu untuk mempertahankan kerajaan GRS pada hari ini,” tegasnya.