PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun meninggal dunia selepas bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Km 38 Jalan Penampang-Tambunan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata telah menerima maklumat awam mengenai kes pada jam 12.45 tengah hari.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah Penampang.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa seorang lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam sebuah kenyataan media hari ini.
Sammy berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen ELizabeth 1 untuk tujuan bedah siasat manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” tambahnya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.