KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kumpulan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merancang untuk menganjurkan “Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah” pada ambang tahun baharu supaya menggunakan pendekatan dialog dan bukannya perhimpunan di jalanan.
“Walaupun kami menghormati hak kebebasan pelajar untuk menganjurkan perhimpunan aman, dan sebagai pihak yang prihatin dengan isu semasa dan aspirasi belia, kami ingin memberikan beberapa penjelasan dan pandangan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
“Kami percaya isu penting termasuk rasuah boleh disuarakan melalui dialog dan perbincangan yang membina dengan pihak berkaitan. Pendekatan ini lebih berkesan dan tidak menjejaskan ketenteraman awam.
“Mengadakan perhimpunan di jalan raya bukan sahaja berisiko menimbulkan insiden yang boleh menjejaskan keselamatan peserta dan orang ramai, malah akan mengganggu keselesaan masyarakat dan pelancong terutama pada musim cuti akhir tahun.
“Aktiviti seperti ini boleh menjejaskan imej negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang aman dan harmoni,” kata mereka lagi.
Pemuda GRS turut menyeru pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mempertimbangkan untuk membatalkan permit perhimpunan demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian negeri.
Mereka berkata keutamaan harus diberikan kepada kesejahteraan masyarakat dan kelancaran aktiviti pelancongan yang menjadi nadi ekonomi Sabah.
“Hormati Keputusan Majlis Raja-Raja dan YDP Agong. Pelantikan mana-mana jawatan penting dalam negara ini termasuk Yang di-Pertua Negeri dibuat berdasarkan keputusan Majlis Raja-raja dan YDP Agong.
“Keputusan ini sepatutnya dihormati sebagai lambang perpaduan dan kestabilan negara.
“Segala dakwaan berkaitan kes rasuah perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman untuk disiasat secara telus.
“Proses perundangan mengambil masa untuk memastikan setiap pihak mendapat keadilan,” tambah mereka.
Mereka turut menasihatkan pelajar supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh memudaratkan masa depan mereka dengan berkata pendidikan adalah keutamaan, dan ia perlu dijaga bagi menjamin masa depan yang cerah.
“Pelajar adalah aset negara, dan kami menyeru mereka berhati-hati agar tidak dimanipulasi oleh mana-mana kepentingan politik.
“Fokus kepada pendidikan dan pembangunan diri adalah lebih penting daripada terlibat dalam agenda politik parti tertentu,” kata mereka.
Dalam pada itu mereka turut menyeru Lembaga Disiplin UMS memberi nasihat tegas kepada pelajar supaya tidak terlibat dalam perhimpunan tersebut.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan, UMS perlu memastikan pelajarnya menumpukan kepada akademik dan aktiviti konstruktif, bukannya melibatkan diri dalam aktiviti yang berisiko menjejaskan masa depan mereka.
“Kami menyokong penuh memerangi rasuah dan memperjuangkan integriti, tetapi ia perlu dilakukan melalui saluran yang betul dan sah,” kata Pemuda GRS.