KUALA LUMPUR: Karikatur Yang Dipertuan Negeri Sabah Ke-11, Tun Datuk Seri Musa Aman yang dilukis pereka grafik politik, Fahmi Reza merupakan tindakan tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah mencemarkan nama baik institusi raja di mana pelantikan Musa ke jawatan itu dibuat oleh Yang DiPertuan Agong.
Justeru itu, beliau menggesa agar pihak polis segera mengambil tindakan terhadap aktivis itu yang menghina Agong dan Tun Musa.
“Fahmi telah membuat provokasi terhadap rakyat Sabah menerusi karikaturnya yang mempunyai maksud menghina Musa sebagai perasuah.
“Kita harap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak tegas bukan sahaja intitusi diraja tapi harus diingat bagaimana Sabah Sarawak tak ada raja, dia ada TYT. Jadi, adakah kerana kami orang Sabah Sarawak tak layak mendapat perlindungan TYT.
“Kami jadi emosi, kami terganggu disebabkan (karikatur) Fahmi telah tular, dia pergi Sabah hari ini membawa karikatur Musa,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zulkarnain berkata, karikatur yang dibuat oleh Fahmi itu telah menimbulkan gelombang apabila beberapa penyokong fanatik parti politik di Sabah turut membuat provokasi melampau terhadap Musa.
Tegasnya, perkara itu sepatutnya dibendung dan dihalang serta tidak wajar menyebarkan fitnah dan caci maki dalam berpolitik.
Beliau mahu supaya polis mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sesuatu kejadian tidak diingini berlaku terhadap Fahmi yang kini dikatakan berada di Sabah bagi mengetuai perhimpunan aman “Gempur Rasuah Sabah” yang akan disertai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa depan.