PAPAR: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Manis menyifatkan tindakan pereka grafik politik, Fahmi Reza yang membuat karikatur Yang Dipertuan Negeri Sabah Ke-11 Tun Musa Aman seterusnya membawa karikatur tersebut ke negeri ini merupakan tindakan melampaui batas dan tidak hormat peranan TYT sebagai Ketua Negeri.
Ketuanya, Yusry Mohiddien berkata, pihaknya percaya bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk tujuan menghina atau mencemarkan nama baik mana-mana pihak, lebih-lebih lagi institusi penting negeri seperti TYT.
“Kami menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera terhadap perkara ini dan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati melanggar undang-undang.
“Kami juga menyeru rakyat Sabah untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian negeri dengan menolak tindakan provokatif yang boleh mencetuskan perpecahan atau ketegangan.
“Hormatilah prinsip undang-undang dan sensitiviti masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan selepas membuat laporan polis terhadap tindakan Fahmi yang menghina TYT Sabah melalui karikatur yang tular di media sosial, di Balai Polis Papar, hari ini.
Dalam pada itu, Yusry berkata, laporan dibuat atas dasar mempertahankan martabat institusi TYT yang menjadi simbol kedaulatan negeri serta perpaduan rakyat Sabah.
“Pemuda Gagasan Rakyat Pantai Manis komited untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dan mempertahankan kedaulatan negeri dari sebarang cubaan mencemar institusi-instituasi utama kita,” tegasnya.