Advertisement

Isu Rasuah Dan Ketirisan: Menuju PRN Sabah Ke-17 – Sabah News

KOTA KINABALU: Umum maklum, isu rasuah di negeri ini bukan lagi perkara baru walaupun beberapa bulan kebelakangan isu ini hangat diperkatakan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin berkata, dalam menuju Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17), banyak pihak mula didedahkan, tidak terkecuali mereka yang berlagak suci seolah-olah ketika mereka mentadbir tiada ketirisan berlaku.

“Sepanjang dua tahun pentadbiran kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita lebih fokus kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keadilan dalam pengagihan kekayaan negara serta memerangi amalan rasuah, pemborosan dan penyelewengan.

“Bagi PKR Sabah, kita masih berpegang kepada prinsip menentang rasuah dan salah guna kuasa serta prinsip ‘rule of law’.

“Kerana itu kita telah memaklumkan sebelum ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jalankan siasatan kepada beberapa ADUN terlibat dalam skandal video rasuah.

“Namun dalam masa sama kita tidak boleh terlalu mendesak SPRM kerana khuatir akan berlaku kecacatan dalam pendakwaan seperti beberapa kes melibatkan pemimpin politik sebelum ini sehingga terpaksa dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat menjelaskan hal tersebut dengan mengambil contoh beberapa pendakwaan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dakwaan terhadap beberapa individu ini terlalu gopoh dan menunjukkan lebih kepada bermotifkan politik sehingga SPRM dilihat tidak mempunyai ruang cukup dan akhirnya kecacatan pendakwaan akibat kekurangan bukti telah menyebabkan individu terlibat dilepaskan.

“Kita berharap kes melibatkan Pengerusi BN Sabah (Datuk Seri Bung Moktar Radin) yang diperintah bela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah dapat diadili sebaiknya berdasarkan bukti yang ada,” tegasnya.

Tambah Razeef, ketirisan dan kerosakan amalan urus tadbir yang berlaku banyak memberi kesan negatif sehingga menafikan kemajuan buat rakyat Sabah.

“Sebagai contoh, ketirisan sehingga RM1.5 bilion yang dipercayai berlaku ketika Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ditadbir oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2009 hingga 2015.

“Ketirisan dengan jumlah yang sangat besar ini mengakibatkan banyak projek pembangunan infrastruktur rakyat tidak berfungsi termasuklah projek jalanraya, bekalan elektrik dan bekalan air serta projek pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Semporna yang menjadi projek ‘gajah putih’,” tambahnya.

Dalam pada itu, Razeef berkata, rasuah dalam pentadbiran yang melibatkan penjawat awam dan ahli politik memang sukar dihapuskan walau berkali-kali tukar kerajaan kerana sudah mengakar sejak pentadbiran lalu.

“Namun perbezaan yang dapat dilihat adalah di bawah kerajaan Madani kita tidak berkompromi terhadap individu yang melakukan rasuah dan salahguna kuasa yang mana jelas berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya.