Advertisement

Perdana Park Tanjung Aru Kekal Ditutup Atas Faktor Keselamatan Fasiliti – Sabah News

KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru masih ditutup buat masa ini atas risiko keselamatan kerana beberapa fasiliti dan infrastruktur taman telah mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki serta dipulihkan secara menyeluruh.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata telah mengambil inisiatif dengan memanggil satu mesyuarat bersama operator taman berkenaan pada 23 Disember 2024 susulan gesaan orang awam yang meminta ianya dibuka semula.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK dan turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah.

“Antara kerosakan yang dilaporkan adalah keadaan trek joging yang telah merosot disebabkan cuaca dan penggunaan yang kerap serta peralatan taman permainan kanak-kanak yang telah berkarat dan lantai taman permainan kanak-kanak yang telah rosak.

“Taman permainan kanak-kanak berkenaan juga telah ditutup lebih awal atas sebab keselamatan.

“Selain itu, fasiliti dan peralatan senaman yang ada dalam taman tersebut juga telah uzur dan tidak selamat untuk digunakan. Di samping itu, tarikan yang ada di taman tersebut seperti ‘musical fountain’ dan ‘jumping jet’ juga turut mengalami kerosakan dan tidak dapat beroperasi seperti yang sepatutnya.

“Pihak operator juga menyatakan keperluan untuk menyelenggara sistem pembetungan dan perparitan kawasan taman dan memperbaiki pagar yang rosak.

“Di samping itu, terdapat lantai konkrit yang tidak rata disebabkan akar-akar kayu dan boleh menyebabkan kecederaan kepada pengguna taman serta menyusahkan akses pengguna yang menggunakan kerusi roda,” kata DBKK dalam sebuah kenyataan.

Tambahnya, pihak Jabatan Kerja Raya Sabah telah memeriksa kerosakan yang dialami oleh taman berkenaan dan menyediakan anggaran perbelanjaan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan taman tersebut.

Jelasnya, permohonan bajet ith sedang dalam pertimbangan oleh pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Terdahulu, Perdana Park Tanjung Aru telah ditutup kepada orang awam pada 11 September 2024 berikutan kejadian memerang menyerang pengguna taman yang sedang berjoging.

Pada 18 November 2024, DBKK telah mengeluarkan surat kebenaran kepada Perdana Park Tanjung Aru untuk beroperasi semula.