Advertisement

Amukan Jalan Raya: Lelaki Diugut Dengan Batang Kayu Di Telipok, Polis Nasihat Kawal Emosi – Sabah News

KOTA KINABALU: Polis daerah ini menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawal emosi bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku khususnya kes ugutan jenayah.

Ini berikutan satu kes ugutan jenayah di Pekan Telipok, Menggatal pada Sabtu semalam dalam insiden lebih kurang jam 2.28 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata seorang lelaki berusia 26 tahun telah diugut oleh seorang suspek lelaki yang tidak dikenali menggunakan sebatang kayu.

“Hasil siasatan mendapati bahawa semasa pengadu sedang memandu kereta untuk pulang ke rumah, suspek yang juga sedang memandu telah memotong secara merbahaya untuk bergerak ke hadapan sehingga hampir berlaku perlanggaran dengan kenderaan pengadu. 

“Pengadu yang panik telah membunyikan hon. Apabila sampai di lorong Pekan Telipok, suspek telah memberhentikan kenderaan di tengah lorong bagi menghalang kenderaan pengadu.

Katanya, suspek kemudian turun membawa sebatang kayu panjang lebih kurang 20 inci dan mengacukan kayu tersebut kepada pengadu sambil berkata: “kau kenapa, suka hati saya mau pandu laju, awas kau”.

“Kejadian ini bagaimanapun telah ditularkan melalui sebuah rakaman video berdurasi 36 saat di Tiktok oleh pengadu sendiri,” kata Kasim dalam sebuah kenyataan.

Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.