Advertisement

Calon SPM Dinasihat Amal Makanan Seimbang, Rehat Cukup Dan Jaga Diri – Sabah News

KOTA KINABALU: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang dan rehat secukupnya selain menjaga diri daripada dijangkiti sebarang penyakit.

Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, calon SPM juga perlu menjaga diri sendiri dengan tidak pergi ke tempat berisiko khususnya di kawasan bencana.

“Dapatkan rawatan segera jika tidak sihat dan rehat secukupnya supaya cergas dan bertenaga pada hari peperiksaan.

“Saya juga berharap agar para calon SPM tidak pergi ke tempat berisiko khususnya di kawasan bencana terutama pada ketika musim cuaca yang tidak menentu pada masa kini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Arif turut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM yang akan bermula Selasa ini.

Beliau turut meminta calon SPM untuk terus fokus dan menjawab soalan dengan tenang.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menduduki peperiksaan SPM kepada seluruh calon-calon SPM di Sabah.

“Saya juga mendoakan agar calon terlibat sentiasa diberkati, sentiasa dirahmati dan dipermudahkan dalam menjawab soalan-soalan. Impian kejayaan ini akan kita rai bersama-sama.

“Ucapan terima kasih juga saya titipkan kepada barisan guru yang telah bertungkus-lumus memberi tunjuk ajar kepada para pelajar selama lima tahun bersekolah di sekolah menengah,” katanya.

SPM 2024/2025 dijangka akan bermula Selasa menerusi dua kertas peperiksan iaitu Bahasa Melayu Kertas 4 dan Bahasa Inggeris Kertas 4.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2025 kepada semua rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

“Saya mendoakan agar tahun baharu ini akan terus membawa sinar keceriaan dan kesejahteraan kepada semua masyarakat berbilang kaum,”katanya.