Advertisement

Hina TYT Sabah, AMANAH Sabah Gesa Siasatan Dijalankan Ke Atas Fahmi Reza – Sabah News

KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah, Lahirul Latigu, memberitahu seniman dan aktivis untuk lebih peka terhadap sensitiviti rakyat Sabah.

“Kritikan dan satira adalah sebahagian daripada demokrasi, tetapi ia harus dilakukan secara beradab dan bertanggungjawab,” katanya mengulas kontroversi karikatur Fahmi Reza baru-baru ini yang dianggap menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah. 

Lahirul berkata tindakan itu bukan sahaja mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap simbol negeri tetapi juga berpotensi menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.

“TYT bukan sekadar seorang individu tetapi adalah institusi penting dalam struktur pentadbiran negeri Sabah. Beliau merupakan lambang kedaulatan, perpaduan, dan kestabilan negeri ini. 

“Sebagai figura neutral tanpa pengaruh politik, TYT memainkan peranan besar dalam menjaga integriti sistem pentadbiran negeri Sabah.

“TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah Ketua Negeri Sabah yang memainkan peranan penting dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

“Walaupun Sabah tidak mempunyai raja seperti negeri-negeri beraja di Semenanjung Malaysia, TYT berfungsi sebagai simbol kedaulatan negeri.

“Kedudukannya adalah unik kerana TYT dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, menjadikannya wakil tertinggi Sabah dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

“Jawatan TYT ini menggantikan peranan seorang Raja, dengan tanggungjawab besar dalam memastikan pentadbiran negeri Sabah berjalan mengikut peruntukan perlembagaan dan menjaga keharmonian politik serta perpaduan rakyat,” jelasnya.

Katanya, AMANAH juga menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur yang melanggar undang-undang.

“Pada masa yang sama, kami menyeru semua rakyat Sabah untuk mengekalkan perpaduan dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan keharmonian negeri.

“TYT adalah lambang maruah dan kedaulatan negeri Sabah. Sebagai rakyat Sabah, kita bertanggungjawab mempertahankan institusi ini daripada apa-apa bentuk penghinaan.

“Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah menegaskan bahawa penghormatan kepada TYT adalah penghormatan kepada negeri Sabah.

“Sabah adalah negeri yang unik dalam Persekutuan Malaysia, dan maruahnya mesti dipelihara oleh semua pihak. Kami berdiri teguh bersama rakyat Sabah untuk mempertahankan integriti negeri ini,” tegasnya.