Advertisement

Majlis Perwakilan Pelajar UMS Tidak Sarankan Mahasiswa Berhimpun Mencabar Kedudukan Raja, TYT – Sabah News

KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS) tidak menyarankan mahasiswa untuk mengikuti “Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah” yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember 2024 di hadapan Menara Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

MPP UMS dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah berpotensi melanggar Seksyen 121B Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Seksyen ini memperuntukkan hukuman berat terhadap sebarang tindakan yang mencabar kedudukan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

“Walaupun hak untuk menyuarakan pendapat adalah dijamin dalam Perlembagaan, kami ingin menegaskan bahawa proses pelantikan Yang di-Pertua Negeri merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang dilaksanakan setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah, selaras dengan Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, sebarang bantahan terhadap pelantikan ini haruslah dilakukan melalui saluran yang sah dan dengan penuh penghormatan terhadap keluhuran undang-undang negara,” mereka berkata.

Mereka turut berkata untuk menyokong sepenuhnya usaha untuk memerangi rasuah.

Walau bagaimanapun, penegakkan undang-undang yang tegas dan siasatan yang menyeluruh kata mereka seharusnya dilakukan oleh badan yang berwibawa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Oleh itu, kami menyeru semua pihak untuk memberikan kepercayaan penuh kepada SPRM dalam menjalankan tugasnya secara profesional dan telus.

“SPRM berfungsi sebagai badan bebas, yang tidak tunduk kepada mana-mana pihak, sama ada kerajaan, organisasi politik, atau individu tertentu.

“Akta 694, Seksyen 7(c), Seksyen 29(3) dan Seksyen 30 jelas memperuntukkan kuasa SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap semua kes rasuah tanpa sebarang campur tangan,” kata mereka.

MPP UMS juga menyuarakan kebimbangan atas dasar keselamatan seperti potensi bahaya lalu lintas dan kemungkinan keadaan yang tidak teratur semasa perhimpunan berlangsung.

“Tambahan pula, terdapat pertembungan antara dua perhimpunan dengan objektif yang berlainan, yang berpotensi mencetuskan provokasi dan meningkatkan risiko keselamatan.

“Walaupun demikian, kami tidak menghalang mana-mana individu untuk menyertai perhimpunan ini, kerana kami menghormati hak kebebasan individu untuk menyuarakan pendapat dan menuntut perubahan, sebagaimana yang tertera pada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.