TAMBUNAN: Tiga wanita dilaporkan cedera selepas kenderaan Perodua Bezza dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam gaung sedalam 30 meter di Kampung Pahu semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak selamat dalam insiden terbabit.
Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 8.46 malam melalui talian balai.
Sepasukan tujuh anggota diketuai PBK II Selverinus Sixtus Geoffrey tiba ke lokasi berjarak 34 kilometer kira-kira 43 minit kemudian.
“Kesemua mangsa terlibat telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan Bomba.
“Tiga orang mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba.
“Mereka seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke Hospital Tambunan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Dua orang mangsa lagi tidak mengalami kecederaan,” kata seorang jurucakap agensi dalam kenyataan media hari ini.