KOTA KINABALU: Permohonan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dijangka akan diadakan di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 31 Dis (esok) tidak memenuhi syarat dan telah ditolak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Katanya, permohonan perhimpunan itu telah dihantar ke IPD Kota Kinabalu, namun setelah diteliti tidak memenuhi syarat perhimpunan aman dan tidak lengkap.
“OCPD Kota Kinabalu, sudah meneliti permohonan mereka ini dan didapati permohonan mereka tidak memenuhi syarat dan mereka ini telah dinasihatkan untuk melengkapkan, namun hingga kini tiada tindakan daripada pihak mereka.
“Sekiranya perhimpunan ini diteruskan juga ataupun berlaku juga maka pihak polis akan mempastikan bahawa mereka ini tidak mengganggu gugat Karnival Ria yang juga sedang dilaksanakan di tapak yang sama.
“Kita juga akan mempastikan mereka ini tidak hadir di kawasan berkenaan dengan mengadakan beberapa sekatan-sekatan untuk mempastikan mereka tidak menceroboh kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini, hari ini.
Selain pemantauan ketat, anggota polis turut ditemparkan di beberapa kawasan untuk memastikan tiada provokasi atau kejadian yang boleh mencetuskan kekacauan.
Sementara itu, pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menafikan penglibatan mahasiswa mereka dan memaklumkan bahawa mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan itu dianggap telah melanggar arahan universiti.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak polis.