KOTA KINABALU: Polis Sabah memaklumkan pihak mereka sudah menerima lebih 30 laporan mengenai tindakan Fahmi menerusi karikatur TYT Sabah baharu, Tun Datuk Seri Musa Aman yang dianggap tidak menghormati keputusan Diraja dan cuba memporak-perandakan rakyat Sabah selain menghasut rakyat untuk membenci.
Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya kini sedang mencari Fahmi Reza dan kertas siasatan telah pun dibuka.
“Setakat ni kita telah menerima lebih daripada 30 laporan polis berkaitan dengan dia ini, dan kertas sisatan telah pun dibuka dan kita telah mencari dia untuk dia bertanggungjawab atas perbuatan dia.
“Kalau esok dia hadir maka sesuatu yang mudahlah bagi kita dan jangan pula yang lain itu terprovokasi sebab kita sudah terang menyatakan bahawa kita sedang mencari dia untuk siasatan di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Fahmi menerusi hantarannya di laman Facebook sebentar tadi, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk sedia disoal siasat.
“Polis dah roger! Dalam perjalanan ke balai untuk disoalsiasat polis KK berkaitan posting Facebook pasal poster Koruptor No. 1 Sabah yang aku tampal di KK. Rasanya ada lebih 10 laporan polis dibuat terhadap aku.
“Aku disiasat bawah S4(1) Akta Hasutan, Akta Sakit Hati (S233 AKMM) dan S504 KK.
“Kalau aku tak update sebelum jam 8pm maknanya aku akan tidur lokap malam ni,” katanya dalam hantaran tersebut.