Advertisement

Program Ziarah Kasih 2.0 DUN Lumadan, Beri Peluang Mutiara GRS Santuni Golongan Memerlukan – Sabah News

BEAUFORT: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menyantuni golongan asnaf menerusi program Ziarah Kasih 2.0 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Program anjuran bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan; Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan dan Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Lumadan itu dilaksanakan di 13 buah zon di kawasan (DUN) Lumadan.

Antara golongan yang disantuni termasuklah warga emas, pesakit strok, ibu tunggal dan individu yang tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan yang dihidapi.

Ziarah yang diketuai isteri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datin Nursiah Santri itu turut menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makanan dan wang tunai.

Nursiah berkata, selain menyampaikan sumbangan, ziarah itu turut memberi peluang kepada pihaknya untuk bertanyakan khabar kepada golongan penerima terlibat.

“Dengan menziarahi masyarakat secara dekat, ia secara tidak langsung dapat mengenali mereka dengan lebih dekat dan mengeratkan hubungan silaturahim.

“Secara peribadi saya sangat senang dan bersyukur dapat bertemu golongan ini dan mendengar sendiri luahan hati mereka,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan untuk terus menyantuni lebih ramai golongan memerlukan.