Advertisement

Tun Juhar Banyak Menyumbang Kepada Sabah Sepanjang 14 Tahun Berkhidmat – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata selepas 14 tahun, Tun Juhar adalah Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat dan telah memberi sumbangan yang begitu besar kepada Sabah.

“Tuan Yang Terutama Tun telah mencurah khidmat yang tiada tolok banding, yang menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan yang melibatkan kerencaman dan dinamika dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

“Perkembangan ini berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-10 dan telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dan berjiwa besar,” katanya pada majlis santapan negeri bagi menghargai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam ini.

Beliau berkata antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah Sabah termasuklah insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo pada 2013 dan merebaknya pandemik COVID-19 yang bermula pada akhir 2019 sehingga ke awal tahun 2022.

“Kedua-dua insiden itu telah meletakkan rakyat Sabah ke dalam situasi yang mencabar. Banyak nyawa terkorban.

“Alhamdulillah, di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun, kita telah berjaya mengatasi cabaran ini,” katanya.

“Rakyat Sabah tidak kira bangsa, budaya, agama dan kepercayaan sentiasa menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada Tuan Yang Terutama Tun dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Norlidah Tan Sri R M Jasni dalam semua program awam yang mereka jayakan,” katanya.

Hajiji berkata kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Sabah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Juhar atas kepimpinan cemerlang sepanjang 14 tahun memerintah dan mendoakan beliau serta Toh Puan Norlidah sentiasa baik dalam perjalanan mereka seterusnya.