Advertisement

iPhone Jatuh Dalam Kotak Derma, Pihak Kuil Tidak Kembalikan Kerana Dianggap Sudah Jadi ‘Milik Dewa’ – Sabah News

INDIA: Seorang lelaki tidak dapat menuntut kembali iPhone miliknya yang secara tidak sengaja terjatuh ke dalam kotak derma sebuah kuil Arulmigu Kandaswamy di Thriuporur, Chennai, India.

Memetik thereporter, permintaannya untuk mendapatkan semula telefon bimbit tersebut ditolak kerana pihak kuil mendakwa ia kini suda menjadi ‘milik dewa’.

Dilaporkan, lelaki yang dikenali sebagai Dinesh, sebelum itu sedang membuat persembahan dan telefonnya secara tidak sengaja terjatuh ke dalam kotak derma.

Ketika Dinesh meminta pihak kuil untuk memulangkan telefon miliknya, mereka menolak dengan baik dan menjelaskan bahawa barangan yang dimasukkan ke dalam kota derma dianggap ‘milik dewa’. 

Bagaimanapun, pihak kuil membenarkan Dinesh untuk mengambil data daripada telefon tersebut, namun sekali lagi menegaskan bahawa telefon itu kekal jadi milik kuil.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Dinesh kemudian bertindak melaporkan perkara tersebut kepada Menteri Hal Ehwal Agama Hindu dan Amal Kebajikan, PK Sekar Babu untuk meminta telefon tersebut dipulangkan.

Namun, nasib tidak menyebelahi Dinesh apabila menteri bertindak menyokong keputusan kuil.

Jelas Sekar, mengikut amalan dan tradisi kuil, sebarang barangan yang dimasukkan ke dalam kotak derma sama ada sengaja atau tidak, tetap akan menjadi sebahagian daripada ‘akaun dewa’.

“Sebarang persembahan yang dimasukkan ke dalam kotak derma dianggap sebagai milik dewa dan peraturan tidak membenarkan ia dipulangkan,” katanya.

Bagaimanapun, Sekar menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bentuk pampasan lain untuk membantu Dinesh.

Dalam insiden lain, seorang wanita turut pernah mengalami hal sama apabila rantai emas miliknya terjatuh ke dalam kota derma sebuah kuil ketika menanggalkan kalungan bunga untuk persembahan.

Untuk kes itu, pengerusi kuil menggantikan rantai itu daripada wangnya sendiri selepas kejadian itu disahkan melalui rakaman kamera CCTV.

Mengikut undang-undang di negara itu, barangan yang dimasukkan ke dalam kotak derma kuil sama ada sengaja atau tidak, tidak boleh dikembalikan.