KOTA KINABALU, SABAH – Demonstrasi yang tidak mencapai angka sasaran 10,000 peserta di Menara Kinabalu hari ini hanya memalukan pihak pembangkang kata aktivis Sabah Jufazli Shi Ahmad.
“Mereka main wayang politik, menghasut orang Sabah, sedangkan bagi orang Sabah, tiada masalah pun Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Di-Pertua negeri Sabah oleh yang di-Pertuan Agung ke-17.
“Tiada masalah Datuk Seri Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri Sabah kerana beliau tiada kes jenayah rasuah yang dibuka dalam mahkamah.
“Yang ada kes rasuah ialah Datuk Seri Shafie Apdal bernilai RM1.5 bilion. PKR Sabah juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia perlu dibuka semula…
“Kes jenayah rasuah Bung Mokhtar bersama isteri keduanya di mahkamah Putrajaya telah dibuka semula,” katanya.
Bekas calon bebas Tanjong Papat itu berkata perlantikan Tun Musa tidak boleh dipolitikkan dengan dijadikan alat propaganda.
“Kenapa kita perlu membuli dan memfitnah Tun Musa Aman yang sudah bersara daripada politik?
“Dia sudah menang kes mahkamah, sudah berjaya membersihkan namanya. Saya bangga mempertahankan namanya,” tegasnya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan mengajak mereka untuk berpolitik dengan cara yang betul.
“Saya kesian tengok anda sebab anda dipergunakan dan diperalatkan oleh ‘Malaya’, oleh UMNO dan Warisan di Sabah yang tidak tahan jadi pembangkang namun undang-undang itu adalah tetap,” katanya.