KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited meneruskan pembangunan dan mewujudkan lebih banyak peluang kemakmuran ekonomi untuk rakyat Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan berterusan dan kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH untuk menerajui negeri ini. Marilah kita bersatu dalam solidariti, dan mengutamakan perpaduan demi kestabilan politik untuk negeri kita yang tercinta,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2025.
“Marilah kita memandang ke hadapan untuk memperbaharui komitmen bagi meneruskan kejayaan dan matlamat pembangunan kita. Tahun 2025 adalah tahun untuk kita bertindak lebih tegas untuk meneruskan agenda pembangunan serta memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
“Tahun 2004 merupakan tahun yang baik. Kita telah melakukan yang terbaik untuk mengatasi pelbagai cabaran dan kekal dilandasan untuk mencapai matlamat kita. Kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada tahun 2024 dan kita telah memperoleh sejumlah RM1.7 bilion dalam pelaburan asing dan domestik pada tahun ini.
“Kita akan meneruskan momentum ini dan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk pertumbuhan ekonomi negeri ini – pertanian, perindustrian dan pelancongan,” katanya.
Dalam tempoh empat tahun lalu, kita telah mencapai kemajuan besar bukan sahaja dalam tiga tonggak utama ini tetapi dengan pelaburan dalam modal insan melalui peningkatan pembiayaan biasiswa dan bantuan pelajar, meningkatkan peruntukan kepada RM127 juta pada tahun 2025 untuk memanfaatkan lebih daripada 10,000 pelajar sedia ada dan pelajar baharu yang layak,” tambahnya.
“Kita juga telah membina 5,000 buah rumah di bawah inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk keluarga berpendapatan rendah di semua 73 DUN dengan 3,000 rumah baharu akan dibina pada tanun 2025 membabitkan kos sebanyak RM250 juta. Ini adalah antara inisiatif untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh negeri.
Kita yakin usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu legasi air dan elektrik ini akan membuahkan hasil apabila projek seperti empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom, antara lain mula beroperasi. Ini adalah antara penyelesaian jangka panjang mampan Kerajaan Negeri untuk pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” kata Ketua Menteri.
Ketua Menteri berkata kerajaan negeri yang memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 2022 melalui SMJ Energy telah mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan. Dengan pelaburan strategik melalui kepentingan dalam projek minyak dan gas utama seperti Samarang PSC, Projek LNG9 dan SAMUR, ini telah menjana pendapatan melebihi RM2 bilion daripada jualan minyak dan gas kepada negeri ini.
Ketua Menteri berharap tahun baharu akan membawa komitmen baharu kepada semua untuk bertolak ansur dan bersatu padu.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan perpaduan rakyat dan kestabilan politik sentiasa kekal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan berterusan untuk Sabah.
Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua.