KOTA KINABALU: Perhimpunan ‘Aman Gempur Rasuah Sabah’ dipercayai didalangi dan dibiayai oleh dua parti yang didakwa berpusat di Semenanjung dan juga Sabah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar memaklumkan perkara tersebut kepada media selepas selesai Himpunan Bangkit Sabahan di Teluk Likas, hari ini.
Zulkarnain yang juga Pengerusi Majlis Penasihat bagi Perhimpunan Bangkit Sabah berkata, pihaknya meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap penganjuran himpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang turut membawa nama mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Mereka ini sebenarnya didalangi dan dibayai oleh dua parti yang berpusat di Semenanjung dan satu lagi berpusat di Sabah.
“Kita boleh nampak secara jelas, kemudian kita nampak kebanyakkan yang datang itu adalah ahli-ahli mereka walaupun atas arahan jangan guna logo parti mereka sebaliknya menggunakan nama mahasiswa UMS.
“Tujuan utama dia itu sudah tentulah untuk menggulingkan kerajaan ini, sama ada cepat atau lambat, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Sabah ini adalah sasaran mereka dan kita ada bukti dan kita telah buat laporan polis sebelum ini di Balai Polis Seri Petaling,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Tambah Zulkarnain, pihaknya turut menepis tuntutan dari perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman untuk meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.
“Apa bukti yang menunjukkan kedua-dua tokoh ini telah disabitkan bersalah di mahkamah sehingga mereka dipaksa untuk meletak jawatan.
“Jadi kami pun mula tertanya-tanya kerana daripada rekod memang tidak pernah pun kedua-dua pemimpin ini dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah. Jadi atas alasan apa mereka didesak untuk meletak jawatan.
“Itu yang kita tampil hari ini bagi menyatakan rasa kurang senang penganjur kepada mereka. Sebenarnya mereka ini telah digunakan, mereka ini telah dibodohkan oleh orang-orang politik,” tegasnya.
Terdahulu, Perhimpunan Bangkit Sabah dihadiri oleh lebih kurang 1,500 orang dari 15 persatuan badan bukan kerajaan (NGO) yang berlangsung lebih kurang 1 jam lebih di Teluk Likas.