Advertisement

Wanita Sentiasa Dihargai – Amisah – Sabah News

KOTA KINABALU: Penghargaan kepada wanita setiap kali yang bukan sahaja mencapai kejayaan dalam bidang kerjaya mereka, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Adun Dilantik Datuk Amisah Yassin berkata wanita adalah tunggak utama dalam masyarakat kita.

Beliau berkata golongan wanita bukan sahaja berperanan dalam membina keluarga yang harmoni, tetapi juga dalam memacu perubahan sosial, ekonomi, dan budaya. 

Katanya dengan adanya anugerah ini, kita dapat memberi pengiktirafan kepada wanita-wanita yang telah memberikan contoh teladan, menginspirasi orang lain untuk terus berusaha dan berjaya, serta memperkasakan lagi kedudukan mereka dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Malam Aunugerah Idola Wanita Ranau, Sabah tahun 2024 di Hotel Perkasa Kundasang di sini semalam.

Tambah Amisah malam itu juga dilancarkan Majalah Bakatnita Edisi Pertama bagi tahun 2025.

“Ini merupakan sebuah usaha yang sangat baik dalam meraikan kejayaan dan prestasi para wanita-wanita hebat di Negeri ini. 

“Saya doakan agar majalah ini akan berterusan sehingga edisi-edisi yang akan datang” ujarnya.

Jelas Amisah peranan wanita dalam menentukan dasar-dasar negara yang mesra wanita adalah amat penting. Di Malaysia, banyak dasar telah diperkenalkan untuk memastikan kesamarataan gender.

Katanya kita masih memerlukan lebih banyak usaha untuk memastikan wanita mendapat akses yang sama dalam semua aspek kehidupan.

“Dasar yang mesra wanita bukan hanya perlu dilihat dari segi pekerjaan, tetapi juga dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan sosial, dan keusahawanan.

“Wanita perlu diberi lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka dalam merangka dasar yang memberi manfaat kepada semua wanita di negara ini.

“Kebijakkan mesra wanita akan memastikan wanita tidak terpinggir dalam proses pembangunan negara, serta memberi mereka peluang yang lebih besar untuk bersaing secara adil dan saksama” katanya lagi.

Turut diraikan Tokoh Wanita Gemilang Ranau 2025, Datin Hajah Jaini Majid yang juga Penaung Pertubuhan Bakatnita Sabah.

Hadir sama Tinus Manggam, Pegawai Daerah Ranau, Muhasip Haji Ruman, Ketua Daerah, Ana Abdullah, Presiden Bakatnita Negeri Sabah serta ahli jawatan kuasanya.