Advertisement

KECEMERLANGAN KEPIMPINAN TYT SEBAGAI MANTAN KETUA MENTERI BANTU BANGUNKAN NEGERI INI – HAJIJI – Sabah News

KOTA KINABALU: Kecemerlangan kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini, boleh dijadikan panduan dalam mentadbir dan membangunkan negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata jasa dan bakti serta legasi Tun Musa pada masa lalu sebagai mantan Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negeri Sabah, dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan, sudah pasti membantu membangunkan lagi negeri ini.

“Sesungguhnya, pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti kepada negeri Sabah sebelum ini.

“Saya percaya dan berkeyakinan bahawa pelantikan itu, mampu mengangkat martabat negeri Sabah ke satu tahap yang lebih cemerlang, sesuai dengan pengalaman luas Tuan Yang Terutama Tun selama 15 tahun memimpin negeri ini di bawah kerajaan negeri yang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Jamuan Negeri bersama Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Datuk Faridah Tussin di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, malam ini.

Dengan rekod cemerlang itu, Hajiji yakin negeri Sabah akan lebih berupaya maju ke hadapan di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin sejak sekian lama.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan kekayaan dan keindahan alam semula jadinya, dengan kekayaan nilai budaya dan adat tradisi suku kaumnya, Sabah berpotensi besar untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bermatlamat untuk membangunkan negeri Sabah secara holistik dan inklusif, Insya Allah objektif ini akan mudah dicapai berkat bimbingan serta panduan yang bakal diberikan oleh Tuan Yang Terutama sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, termasuk dalam dunia korporat,” katanya.

Sehubungan itu Ketua Menteri mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini, eratkan kerjasama, kukuhkan perpaduan, perbaharui azam dan iltizam agar cita-cita dan impian menjadikan Sabah lebih maju, aman dan sentosa, akan mudah tercapai.

“Melihat kepada cabaran yang mendatang, dengan suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu bagi tahun 2025 ini, selaku kerajaan negeri yang memerintah, selaku anggota penjawat awam yang menggerakkan jentera Kerajaan, dan selaku peneraju sektor swasta; ketiga-tiga entiti besar ini wajar mempertingkatkan kerjasama dan memperkukuhkan strategi ke arah mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat.

“Bersama-samalah kita berganding bahu, berusaha dan bekerja keras ke arah cemerlang dan gemilang; mudah-mudahan negeri Sabah yang tercinta terus maju dan berjaya, aman dan sentosa,” katanya.