Advertisement

Pelantikan Tun Musa Ibarat Hadiah Tahun Baru Kepada Seluruh Rakyat Sabah – Sabah News

Datuk James Ratib, Menteri embangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Perlantikan Tun Musa Hj Aman selaku Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-11 disifatkan sebagai hadiah tahun baru kepada seluruh rakyat negeri ini.

Menyifatkan perkara itu, Datuk James Ratib yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, Tun Musa merupakan seorang tokoh besar yang sebelum ini telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Bahkan beliau juga merupakan bekas tokoh politik yang telah menstabilkan politik negeri selama beberapa penggal sebelum ini sehingga pelbagai pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.

James yakin, Tun Musa akan sentiasa menjadi Ketua Negeri Sabah yang adil kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada Rabu, Tun Musa Hj Aman telah mengangkat sumpah selaku Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Ke-11 disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Istana Seri Kinabalu

Pada 17 Dis, beliau menerima watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Juhar Mahiruddin yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.