KOTA KINABALU: Pertubuhan Gagasan Ekonomi Negeri Sabah (PGENS) mengalukan pelantikan bekas Ketua Menteri Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama Negei Sabah yang baharu.
Presidennya, Jismit Japong berkata beliau mengenali Musa secara peribadi sejak sekian lama, sambil menegaskan Musa sudah menjadi usahawan berjaya walaupun sebelum menjadi Ketua Menteri.
“Jadi tidak ada isu berhubung pelantikannya,” katanya mengenai kontroversi sebelum Musa mengangkat sumpah pada Rabu.
Beliau berkata rakyat Sabah yang terlalu berhati lembut pula yang membenarkan kemasukan aktivis dari semenanjung yang mengingkari kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, aktivis visual yang bertanggungjawab melakar karikatur berbaur hasutan terhadap Musa tidak akan “dapat keluar” negeri yang menjunjung sistem diraja seperti Terengganu dan Kelantan.
“Tidak ada sebab untuk protes pada mulanya kerana rakyat Sabah tidak begitu terdesak dalam perkara itu,” katanya mengenai perhimpunan kecil di Menara Kinabalu pada ambang tahun baru, baru-baru ini.
“Di mana-mana negeri Malaysia, pemimpin yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh sudah tentu mampu menyumbang ke arah ekonomi masa depan yang lebih mampan.
“Kami tidak berbelah bahagi menerima dan meraikan pelantikan Tun Musa sebagai Gabenor Sabah dan berdiri teguh di belakangnya.
“Adalah menjadi harapan kami agar Tuan Yang Terutama menumpukan perhatian dalam menjalankan tugas bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan,” katanya kepada akhbar.
Jismit berpendapat pengetahuan luas Musa dalam pentadbiran kerajaan dan ekonomi sekali lagi akan menjadi pemacu kepada pembangunan Sabah.
Berhubung PGENS, beliau berkata cawangan parlimennya di Beaufort baru-baru ini ditubuhkan pada 30 Dis dengan 100 orang iaitu lebih tiga kali ganda jangkaan mereka.
Jismit berkata 17 daripada 23 ketua parlimen telah pun dipilih dan yakin dapat mengekalkan 50,000 ahli dalam tempoh tiga tahun.
PGENS, sebuah badan NGO ekonomi Sabah, akan dilancarkan secara rasmi pada Februari dan mesyuarat kongres pertama mereka diadakan sebelum Oktober yang akan membangkitkan isu mengenai autonomi Sabah dalam perniagaan, kebajikan ahli, dan dana amanah antara lain.