Advertisement

Polis Tahan Lima Wanita Serang Janda, Didakwa “Perampas Suami” Di Tawau – Sabah News

Gambar Hiasan

TAWAU: Seorang janda beranak satu telah diserang lima wanita dekat sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mangsa berusia 36 tahun mendapati keempat-empat tayar Proton X50 dipandunya itu pancit sebelum insiden 11 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata susulan laporan polis dibuat mangsa pada jam 4.41 petang, lima wanita terbabit termasuk dua anak beranak ditahan.

“Mangsa dalam laporannya berkata didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali sebelum diserang sehingga mengakibatkan kecederaan dan pendarahan di muka, belakang dan sebelah kiri kepala.

“Pergaduhan berjaya dileraikan oleh abang mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu,” katanya.

Jasmin berkata, mangsa turut mendakwa seutas gelang tangan emas dan sepasang anting-anting dianggarkan bernilai RM4,000 hilang dipercayai diambil oleh seorang daripada suspek terbabit.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mengenali seorang lelaki yang tinggal sekampung sebelum menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih lebih kurang sebulan.

“Punca kejadian disebabkan mangsa dituduh sebagai perampas suami orang. Bagaimanapun, mangsa mendakwa hanya mengetahui teman lelakinya itu masih bujang,” katanya.

Kesemua suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.