Advertisement

Agong Berkuasa Beri Ampun Kesalahan Dilakukan Di Wilayah Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya  – Sabah News

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam tiga wilayah, iaitu Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Istana Negara dalam satu kenyataan media memaklumkan perkara tersebut mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.

“Kuasa baginda ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yabg dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Oleh itu, jelas kenyataan itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh baginda pada mesyuarat akan datang.

“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” tambah kenyataan itu.