SANDAKAN: Seorang pemilik premis kedai perniagaan di Kampung Sim-Sim dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan kerana gagal meletakkan tanda harga ke aras barangan yang dijual.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan yang diadukan menerusi Portal E-Aduan KPDN.
“Hasil pemeriksaan di salah sebuah kedai mendapati peniaga telah gagal meletakkan tanda harga ke atas minuman berkarbonat pelbagai perisa saiz 330ml sebotol sebanyak 20 botol yang dipamerkan untuk dijual di premis perniagaan terbabit.
“Satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah diambil dan peniaga tersebut dikompaun sebanyak RM300,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Azdy dalam kenyataan sama berkata, di bawah AKHAP 2011, jika sekiranya seseorang individu disabitkan kesalahan kerana gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual, ia boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.00.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dikompaun sehingga RM50,000.00,” jelasnya.