Advertisement

JPN Sabah Maklum Seramai 39,538 Calon Peperiksaan SPM Bagi Tahun 2024 – Sabah News

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah) memaklumkan seramai 39,548 orang calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2024 yang dilaksanakan bermula 2 Januari 2025 hingga 6 Februari 2025.

Pengarah JPN Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, daripada keseluruhan jumlah calon itu, 35,232 orang merupakan calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); 472 calon sekolah di bawah agensri kerajaan, 234 calon Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Manakala calon persendirian seramai 2,425 orang dan calon Sekolah Swasta seramai 1185 orang. Peperiksaan SPM tahun 2024 juga akan melibatkan 313 pusat peperiksaan dan petugas peperiksaan seramai 3,378 orang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Raisin dalam kenyataan sama turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiskaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024,” pesannya.

Tambahnya, JPN Sabah turut siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2024 berlangsung.

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPN Sabah.

“JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. JPN Sabah sentiasa mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya.