Advertisement

Kerajaan Negeri Diminta Halang Kemasukan Semula Fahmi Reza Ke Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta untuk menghalang kemasukan pereka grafik, Fahmi Reza ke Sabah selepas tindakannya sebelum ini yang didakwa telah menghina rakyat Sabah dan Yang Dipertuan Negeri, Tun Datuk Seri Musa Aman menerusi karikatur yang dilukis, dibawa dan dilekatkan di negeri ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan kepelbagaian dan keharmonian yang ada di negeri ini tidak patut diganggu gugat oleh orang luar dan mereka perlu dihalang.

“Di Sabah, kita ada hampir 100 lebih etnik dan kita hidup aman damai berdama, tiada masalah malahan ada dalam satu rumah yang tinggal beragama Islam dan Kristian.

“Ini bukan semata-mata soal Tun, tapi ini soal penghinaan terhadap orang Sabah yang dibuat oleh orang Semenanjung melalui pelbagai cara termasuk karikatur ini.

“Karikatur ini dia menghina orang Sabah, orang Sabah sakit hati, yang keduanya dia menghina individu yang mempunyai Banyak jasa di Sabah ni. Sedangkan Tun Musa diamanahkan mandat tersebut oleh Yang Dipertuan Agong dan sudah tentu Agong meneliti semua kes beliau sebelum membuat keputusan.

“Jadi perbuatan Fahmi Reza ini sangat tidak wajar untuk masyarakat Sabah, mungkin di Semenanjung bagi mereka tidak salah, tetapi bagi orang Sabah dan Sarawak perkara begini satu benda yang baru dan kita beranggapan bahawa tindakan yang dibuat itu satu tindakan yang biadab pada pandangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu hari ini terhadap Sudirman Arshad dan peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah oleh pelajar UMS kerana memfitnah TYT Sabah.

Tambah Zulkarnain, bukan Fahmi Reza sahaja yang perlu dihalang masuk ke Sabah tetapi semua orang luar yang cuba melakukan huru-hara di negeri ini.