KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 43 tahun meninggal dunia direnjat elektrik ketika mencari ketam dekat Lorong Kuala Neutron, Kg Likas, sini, semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan telah menerima panggilan berhubung kes pada pukul 10.45 malam melalui talian MERS999.
Sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang tiba ke lokasi dalam masa 7 minit bertindak mengalihkan mangsa ke tempat yang selamat selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di tempat kejadian.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi diketuai PBK II Mohammad Faizal Alias ditamatkan pada pukul 12.50 pagi,” kata seorang jurucakap agensi.
Sementara itu, Ketua BBP Lintas, PKPg Agustavia Joe Guasi berkata punca mangsa direnjat ialah penyambungan elektrik secara haram.
“Pasukan Bomba terpaksa menunggu pihak Sabah Electricity memotong bekalan untuk mengangkat mayat mangsa keluar,,” katanya.