KOTA KINABALU: Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa untuk tampil bertindak tegas terhadap tindakan beberapa individu dan kumpulan termasuk mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terus menghina serta memperlekehkan pelantikan Yang Dipertuan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Musa Aman.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan tegas itu diperlukan kerana fitnah dan tohmahan terhadap Tun Musa sebagai ahli korup semakin berleluasa.
“Sebab itu kita tampil hari ini, meminta pihak polis dan SKMM bertindak tegas sebab institusi Istana khususnya TYT sedang diperkotak-katikkan sekarang ini.
“Kita nampak sekarang macam tiada maruah sudah Istana negeri sekarang kerana TYT diperlekeh macam sampah sudah mereka buat.
“Jadi saya cukup kesal sebab mereka ini, pelajar-pelajar UMS ini, sepatutnya mereka fikir tindakan mereka itu betul atau tidak sebab tindakan melawan korupsi mereka tidak adil.
“Dalam himpunan Aman Gempur Rasuah Sabah, mereka tidak sebut kes Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kini sedang menghadapi tuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta serta beberapa individu lagi termasuk Presiden Parti KDM, Datuk Peter Anthony dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis terhadap Sudirman Arshad dan peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah oleh pelajar UMS kerana memfitnah TYT Sabah.
Laporan tersebut juga dibuat susulan tuduhan oleh peserta himpunan tersebut yang mengatakan Tun Musa yang juga bekas Ketua Menteri telah menggondolkan balak di Sabah.
“Sedangkan mengikut rekod, semasa beliau menjadi Ketua Menteri, jutaan ekar tanah telah disimpan sebagai hutan simpan kekal dan hampir 700 ribu hektar tanah telah dipulihkan selain telah mendapat pengiktirafan daripada WWF.
“Tentang tuduhan Tun Musa sebagai ahli korup, mana satu mahkamah yang pernah menyabitkan beliau bersalah, tidak ada,” jelasnya.
Tambah Zulkarnain lagi, Tun Musa sudah lama bersara dalam dunia politik, dan kini memegang satu jawatan sebagai ketua nombor satu negeri Sabah seterusnya mewakili semua rakyat Sabah.
“Beliau sudah lama bersara dan sudah tidak memakai baju parti serta bebas mewakili sejua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa dan agama. Jadi kenapa dipolitikkan institusi Istana ini?” soalnya.