KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut dirempuh kenderaan Perodua Axia ketika berlari melintas jalan di Kampung Tebobon semalam.
Dalam kejadian 9.40 malam itu, kereta dipandu oleh seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an datang daripada arah Kota Kinabalu menuju ke arah Bandar Sierra.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata, mangsa dipercayai telah berlari melintas jalan daripada arah kanan ke kiri jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki tersebut.
“Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki tersebut telah tercampak ke tepi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan yang bertugas.
“Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang mana telah cuai didalam melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kasim measihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Pejalan kaki pula dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan,” beliau berkata.