TAWAU: Satu blok rumah pekerja dengan sembilan pintu dilaporkan musnah terbakar 100 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Pengkalan Kalabakan petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.01 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bomba dari BBP Tawau bersama 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 91 kilometer.
“Lapor kebakaran melibatkan satu blok sembilan pintu rumah pekerja jenis tidak kekal berkeluasan 40×80 kaki persegi terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan oleh PBS Kalabakan menggunakan dua aliran 200 kaki dua pancutan sumber air terbuka dari kolam dengan menggunakan pam angkut.
“Manakala pasukan Bomba dari BBP Tawau membuat tindakan overhaul serta mengambil maklumat dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pemeriksaan dijalankan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 5.47 petang.