PUTRAJAYA: Hasil kolaborasi strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membawa kepada penangkapan seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di ibu negara.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, individu tersebut telah diserahkan oleh JPJ kepada SPRM petang kelmarin kemudian ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
“Siasatan awal telah mendapati suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa, sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di PUSPAKOM,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambah kenyataan itu lagi, penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan integriti proses pemeriksaan kenderaan terus terpelihara dan bebas daripada sebarang amalan rasuah.
“SPRM menegaskan komitmennya untuk terus memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan, demi memastikan perkhidmatan awam di negara ini kekal telus, berintegriti, dan dipercayai rakyat,” tegasnya.