Advertisement

PH Pusat Belum Sahkan Ewon Sebagai Pengerusi PH Sabah – Mustapha – Sabah News

SEPANGGAR: Pakatan Harapan (PH) menerusi Majlis Presiden Pusat yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memberi sebarang pengesahan terhadap keputusan pelantikan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, setakat ini laporan keputusan pemilihan Pengerusi PH sebelum ini sudah dihantar ke peringkat pimpinan pusat.

Mustapha ketika ditanya mengenai pendirian beliau sama ada kekal menyokong Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah, beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan proses pemilihan, namun terdapat sedikit perbezaan pandangan.

“Itulah prosesnya sudah berjalan dan kita sudah buat kenyataan bersama, tetapi ada sedikit perbezaan pandangan, itu sahaja.

“Dan itu yang disebut pimpinan pusat, majlis presiden terutamanya akan berbincang tentang perkara ini. Ada perbezaan pandangan, tapi akhirnya keputusan itu akan dibuat oleh majlis presiden dan kita sudah hantar laporan-laporan kepada beliau.

“Setakat ini dari segi teknikalnya, memang kaedah pemilihan itu sudah dibuat dan bagi kami, itu kita akurlah dengan kaedah pemilihan, tetapi pengesahan itu perlu dibuat di pihak, Majlis Presiden Pusat dan setakat ini belum ada pengesahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada Sambutan Hari Krismas Sekampung di Dewan Sarayo, Kampung Melawa di sini, hari ini.

Sementara itu, Mustapha memaklumkan pertemuan pimpinan PKR semalam dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya membincangkan mengenai kejadian-kejadian dan isu yang berlegar setakat ini di negeri ini.

“Setakat semalam, kita tidak ada bincang mengenai kerjasama politik, kita hanya mengekalkan kestabilan kerajaan negeri dan kita mahu supaya semua pihak berfikir secara rasional untuk menangani isu yang sekarang ini.

“Kita tahu memang rakyat marah sekarang ini. Jadi bagaimana kita sebagai pimpinan ini untuk meredahkan keadaan,” jelasnya ketika ditanya sama ada perbincangan mengenai kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.