Advertisement

Sabah Electricity Gesa Hentikan Perbuatan Penyambungan Haram – Sabah News

KOTA KINABALU: Sabah Electricity menggesa orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan penempatan setinggan untuk tidak melakukan perbuatan penyambungan elektrik secara tidak sah.

Ketua Pegawai Operasi, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata perbuatan itu bukan sahaja membahayakan si pelaku tetapi orang awam yang tinggal atau berada di persekitaran kawasan di mana penyambungan haram dipasang.

“Sabah Electricity telah melaksanakan ratusan operasi membanteras aktiviti penyambungan haram di kawasan penempatan setinggan untuk mengekang dan mengawal aktiviti tersebut.

“Penyambungan elektrik secara haram dan tidak selamat memberi risiko keselamatan seperti kebakaran akibat litar pintas serta terkena renjatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Mengulas kejadian renjatan elektrik yang berlaku ke atas seoranf lelaki dewasa di Jalan Lorong Kuala Neutron pada malam Khamis, beliau berkata pasukan teknikal Sabah Electricity tiba di lokasi kejadian setelah menerima aduan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.30 malam.

“Bekalan elektrik di kawasan tersebut dimatikan untuk memberi laluan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah melakukan kerja mengalih mangsa,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sambungan haram pada peti pembekal ke lokasi kejadian yang menyebabkan renjatan ke atas mangsa.

Kerja-kerja membersihkan sambungan haram tersebut dilaksanakan dan bekalan elektrik ke kawasan tersebut ditenagakan semula pada jam 12.58 pagi.

Sabah Electricity turut menyeru orang ramai untuk melaporkan perkara berkaitan kepada Sabah Electricity melalui Careline Sabah Electricity 15444, 088- 515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 852 5427